KLUANG – Seorang pekerja katering mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kluang hari ini selepas didakwa cuba membunuh sepasang suami isteri dengan melepaskan tembakan terhadap pasangan itu di Kampung Bukit Batu, di Machap Simpang Renggam, di sini awal bulan lalu.
Tertuduh, Abdurrahman Abdullah, 33, atau lebih dikenali sebagai Man Tiger membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas telah melepaskan tembakan terhadap sepasang suami isteri iaitu berusia 37 dan 38 tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit Batu, Machap, Simpang Renggam, 10 Februari lalu.
Dalam keadaan yang sedemikian, jika dengan perbuatan tertuduh boleh menyebabkan kematian kedua-dua pasangan, oleh itu tertuduh boleh didapati salah kerana membunuh
dengan perbuatan tersebut.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Suniza Nan Yan manakala tertuduh diwakili peguam Kent Tan Chow Teng.
Suniza dalam pada itu menyatakan tiada tawaran jaminan kepada tertuduh berikutan kes melibatkan kejadian serius berkaitan dengan senjata api.
Mahkamah menetapkan 20 Mac hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.