PETALING JAYA – Satu kejadian lubang benam didakwa berlaku berhampiran pusat penjaja Uptown Danau Kota di Setapak, semalam.
Menerusi perkongsian di aplikasi Thread, seorang pengguna dikenali sebagai nazhiaamelati memaklumkan, lubang tersebut sedalam hampir empat meter.
“Hati-hati yang mana pergi Uptown Danau Kota tu, ada tanah jerlus kedalaman hampir 4 meter. Beringat sebelum terkena, takut tragedi Masjid India berulang,” tulisnya pada klip video yang dikongsi.
Berdasarkan klip video itu juga, kelihatan beberapa anggota bomba sedang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mendakwa kawasan tersebut pada zaman dahulu adalah kawasan lombong dan tidak hairan jika kejadian tanah jerlus berlaku di situ.
“Danau kota ni lombong dulu, masa kecil-kecil arwah mak larang keras main kat sini,” tulis q_ueen_bee.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @dalsambal90.
“Sebelum ini, ada tanda dah kawasan di sini hari ini (semalam) baru muncul. Rasa longkang pecah atau paip dalam tanah bocor,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE