PETALING JAYA – Pasukan Sabah FC boleh mengucapkan selamat tinggal dalam misi memburu tangga kedua Liga Super selepas seri 1-1 bertemu Kuala Lumpur City (KL City) sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu, skuad Sabah FC membariskan pemain utama seperti Park Tae-su, Darren Lok dan Stuart Wilkin menguatkan kesebelasan terbaik.
Skuad The Rhinos bermula garang apabila meraih gol menerusi penyudah S. Kumaahran seawal minit kee-7 untuk menewaskan penjaga gol The City Boys, KL City, Hafizul Hakim.
Tersentak dengan gol tersebut, KL City memperkemaskan jentera serangan dan hanya meraih gol penyamaan pada minit ke-81 hasil ppenyudah pemain gantian, Haqimi Azim Rosli.
Keputusan kekal sehingga wisel penamat dengan Sabah FC kini meraih 34 mata manakala KL City mengutip 22 mata selepas mengharungi 19 perlawanan.
Skuad Sabah dijadualkan bertemu Selangor FC di Stadium MBPJ pada minggu depan manakala KL City akan melayan kunjungan PDRM FC di di Stadium Kuala Lumpur, Cheras. – KOSMO! ONLINE