KAJANG – Seorang lelaki cuba mengelar tangannya sendiri dengan pisau selepas disyaki membunuh isterinya di sebuah rumah dekat Bandar Sg. Long, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sekitar pukul 5.32 pagi daripada anak lelaki mangsa yang berusia 35 tahun.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihak polis telah ke lokasi kejadian bersama pasukan forensik bagi menjalankan siasatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa seorang wanita tempatan berusia 63 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidur dan disahkan meninggal dunia.
“Senjata pisau yang digunakan dalam kejadian ini telah dirampas bersama beberapa barang kes lain bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Naazron berkata, suspek lelaki yang juga suami kepada mangsa berusia 65 tahun telah ditahan dan direman selama tujuh hari sehingga 27 Februari ini.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan dipercayai suspek mengalami tekanan perasaan akibat masalah perniagaan dan penyakit yang dialami oleh mangsa,” jelasnya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan punca kematian akibat sesak nafas.
Tambahnya, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Polis Umesh Ratnam Kumar di talian 012-6114900.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan ahli keluarga atau individu terdekat yang mempunyai masalah tekanan perasaan atau masalah dalam perkahwinan.
“Khidmat nasihat dan kaunseling boleh didapati melalui Talian Kasih 15999 atau mana-mana kaunselor bertauliah sekiranya diperlukan,” katanya. - KOSMO! ONLINE