PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa untuk meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti penjualan makanan ringan atau ‘jajan pelik’ di hadapan sekolah yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan murid.
Fenomena ‘jajan pelik’ ini semakin tular dalam kalangan pelajar sekolah, dengan pelbagai jenis makanan mengandungi pewarna berlebihan, perisa tiruan yang kuat serta kandungan gula dan garam tinggi.
Antara yang popular termasuk gula-gula berbentuk mata, cacair berbentuk jarum suntikan, mi segera yang dimakan mentah dengan serbuk perisa berlebihan serta manisan yang mengeluarkan asap selepas dimakan.
Semalam, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang dipercayai tercekik gula-gula ‘gummy eyeball’ meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kira-kira 11 malam tadi.
Kisah kanak-kanak tersebut mendapat perhatian ramai apabila dikatakan membeli jajan tersebut di gerai luar sekolah sewaktu mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain.
Menerusi tinjauan Kosmo! pada ruang komen artikel berkaitan kes kanak-kanak itu hari ini, ibu bapa berkongsi kebimbangan apabila mereka melihat ramai peniaga kecil menawarkan pelbagai jenis ‘jajan pelik’ di luar pintu pagar sekolah.
“Ada berniaga belakang bonet kereta jual jajan kepada pelajar. Ada sekali lambat ambil anak, dia sempat beli jajan gambar ‘monster’. Dengan pewarna kuat, ya Allah ini antara punca rosak kesihatan anak-anak,” kongsi Fazilah.
“Minta KPM, pihak sekolah pantau penjualan ‘jajan pelik’ depan sekolah. Lebih baik mencegah awal daripada terlambat. Ada sekolah macam pasar raya dah depan sekolah ramai peniaga berniaga. Ibu bapa nak ambil anak-anak pun tak ada ruang, jalan sesak,” luah Nur Atikah.
“Peniaga luar tidak dikawal selia seperti kantin sekolah, jadi kita tidak tahu sejauh mana keselamatan makanan yang mereka jual. Pihak sekolah dan KPM perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau dan mengawal aktiviti ini,” kata Syaiful Annuar.
Sehubungan itu, KPM disaran untuk mengambil langkah tegas dalam menangani isu ini, termasuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan makanan yang dijual di kawasan sekitar sekolah adalah selamat.
Langkah penguatkuasaan lebih ketat terhadap peniaga yang menjual makanan tidak sihat juga perlu dipertimbangkan.
Dalam masa yang sama, ibu bapa turut disaran memainkan peranan dengan mendidik anak-anak mengenai pemakanan sihat dan bahaya pengambilan jajan secara berlebihan. – KOSMO! ONLINE