fbpx

Kondo RM16 juta ‘sarang’ sindiket pusat panggilan sasar mangsa warga China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli menunjukkan rampasan sindiket pusat panggilan ketika sidang akhbar di Menara KPJ, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis menahan 14 individu termasuk ketua sindiket pusat panggilan dalam serbuan di lapan buah kondominium mewah di ibu negara pada Rabu lalu, yang dipercayai dibeli dengan nilai RM16 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek berusia dalam lingkungan 28 hingga 52 tahun terdiri daripada 12 warga asing iaitu seorang lelaki warga Turkiye, tujuh lelaki dan empat wanita warga China dan dua lelaki warga tempatan.

Katanya, mereka dipercayai berperanan sebagai ketua sindiket, penolong ketua sindiket, pengurus, pengurus kewangan, pegawai khidmat pelanggan dan pemandu.

“Sindiket tersebut bergiat aktif sejak Oktober tahun lalu manakala sindiket ini melakukan penipuan permainan dalam talian yang menawarkan hadiah berbentuk gajet seperti peranti telefon, komputer serta barangan jenama mewah dan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga China.

“Ahli-ahli sindiket ini perlu menyertai aplikasi ‘chatting’ dan forum-forum di China permainan dalam talian, sebelum mempelawa pemain-pemain baharu dari China untuk menyertai platform mereka yang kononnya menawarkan hadiah kemenangan yang lebih besar dan mewah.

“Mangsa yang berminat kemudiannya akan diminta untuk memuat turun aplikasi tersebut, dan kemudiannya diarahkan untuk membuat pembayaran bagi menyertai pertandingan serta dikenakan bayaran tambahan bagi meneruskan permainanan. Namun, setelah bayaran dibuat, sindiket itu tidak lagi dapat dihubungi,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Tambahnya, kesemua premis kondominium mewah yang dijadikan pusat panggilan dimiliki oleh salah seorang ahli sindiket tersebut yang berwarga China, dan nilai keseluruhan kesemua kondominium tersebut dianggarkan pada RM16 juta.

“Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah wang tunai sebanyak RM4.8 juta, sejumlah wang tunai pelbagai matawang asing, dua buah kenderaan mewah jenis Toyota Alphard, serta pelbagai gajet, komputer riba, dan barangan berjenama mewah seperti beg tangan Louis Vuitton, Balenciaga dan sebagainya “ jelasnya.

Selain itu, pihak polis percaya sindiket ini terlibat dengan aktiviti jenayah yang sama di Filipina dan menggunakan wang keuntungan yang diperoleh di sana untuk membeli aset di Malaysia.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Seramai 12 individu warga asing tersebut ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini, manakala dua lagi individu warga tempatan sedang direman selama dua hari sehingga hari ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk sentiasa mengambil cakna akan perkara yang berlaku di sekitar kediaman masing-masing.

“Sekiranya terkesan sebarang aktiviti yang mencurigakan, segera laporkan kepada pihak polis dan pihak pengurusan hartanah, penjualan rumah mewah kepada warga asing terutama apabila melibatkan pembayaran secara tunai, perlu dilakukan secara lebih teliti.

“Lakukan semakan berkenaan tujuan pembelian, sumber kewangan dan sebagainya bagi memastikan premis yang dibeli tidak digunakan untuk tujuan jenayah,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI