PETALING JAYA – Kelajuan internet mudah alih di Malaysia telah berjaya mengatasi negara jiran, Singapura.
Menurut laporan kajian yang dilakukan Ookla’s Speedtest Global Index 2025, Malaysia berjaya untuk berada di kedudukan teratas negara di Asean mempunyai kelajuan internet mudah alih dengan kelajuan 171.61 (Mbps).

“Kelajuan internet mudah alih di Asia Tenggara berbeza-beza secara meluas, mencerminkan perbezaan dalam infrastruktur, pelaburan dan geografi.
“Malaysia mendahului rantau ini dengan kelajuan melebihi 170 Mbps, diikuti oleh Singapura dan Vietnam, manakala negara seperti Indonesia dan Filipina bergelut dengan kelajuan yang lebih rendah disebabkan oleh cabaran geografi dan jurang infrastruktur.
“Faktor utama yang mempengaruhi jurang ini termasuk pelaburan dalam peningkatan rangkaian, dasar kawal selia dan kesukaran rupa bumi di negara kepulauan,” jelas kajian tersebut.
Dalam ranking tersebut, Indonesia yang berada pada tangga terbawah hanya mencatatkan kelajuan internet mudah alih mereka 40.44 Mbps. – KOSMO! ONLINE.