fbpx

Kabel, bateri pelantar minyak negara dicuri sindiket Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairulanuar (tengah) menunjukkan peralatan mencuri kabel elektronik pelantar minyak yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di Markas Maritim Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan kegiatan menceroboh pelantar minyak untuk mencuri kabel elektronik dan bateri solar yang didalangi sindiket antarabangsa di perairan Kuala Terengganu dekat sini, semalam.

Pencerobohan pelantar minyak untuk mencuri kabel elektronik dan bateri solar itu merupakan kali keempat dilaporkan di perairan Terengganu sejak awal tahun ini melibatkan kerugian lebih jutaan ringgit ekoran gangguan operasi.

Serbuan sepasukan anggota APMM pada pukul 11.30 pagi itu berjaya menahan tujuh anggota sindiket berkenaan yang kesemuanya warga Indonesia berusia dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abdul Majid berkata, kapal maritim (KM) Rawa yang sedang mengadakan rondaan segera ke lokasi tersebut yang terletak kira-kira 142.6 kilometer dari timur perairan Kuala Terengganu sebaik mendapat maklumat pencerobohan sebuah pelantar minyak di Lapangan Tembikai terbabit.

“Pelantar minyak terbabit tidak berpenghuni dan ia merupakan sokongan bagi pelantar utama syarikat cari gali minyak berkenaan terletak berhampiran.

“Kita memperolehi maklumat pencerobohan itu pada pukul 1.30 tengah hari Rabu lalu (kelmarin) namun hanya berjaya menaiki pelantar itu pada 11.30 pagi esoknya ekoran laut bergelora,” katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Terengganu di sini, hari ini.

Mohd. Khairulanuar berkata, pasukan, anggota APMM kemudiannya mendapati pelantar minyak tersebut telah dicerobohi dengan kabel sudah dipotong dan bateri yang mahu dicuri telah dilonggokkan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut akhirnya berjaya menangkap semua tujuh anggota sindiket itu yang bersembunyi di dalam bilik jana kuasa pelantar minyak terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI