GEORGE TOWN – Pasukan penyiasat Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah menyita produk ‘gummy’ yang dijual di sebuah premis di Jalan Sungai Dua, Butterworth, Rabu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, ini susulan insiden melibatkan seorang pelajar berusia 10 tahun dari Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, yang dipercayai telah tercekik gula-gula jenis gummy, Selasa lalu.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa. Semoga mereka tabah. Siasatan awal mendapati gula-gula tersebut diperoleh dari gerai berhampiran sekolah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Daniel, pemeriksaan ke atas gerai-gerai di kawasan sekitar Sungai Dua juga telah dijalankan.
“Pasukan penyiasat telah menemui produk ‘Gummy Original Basketball Soft Candy’s’ di sebuah premis di Jalan Sungai Dua dan sitaan produk telah dijalankan pada Rabu lalu.
“Tindakan selanjutnya akan diselaraskan diperingkat ibu pejabat Program Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE