PETALING JAYA – Beberapa kawasan di Pantai Timur dan utara Semenanjung Malaysia dijangka mengalami ribut petir berserta hujan lebat yang menyeluruh dalam tempoh yang lebih panjang bermula selama enam hari bermula esok.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, analisi terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara bermula pada 22 sehingga 27 Februari 2025.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat yang menyeluruh dalam tempoh yang lebih panjang di Kelantan, Terengganu dan utara Semenanjung.
“Pada masa yang sama, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hisham berkata, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa pada 24 sehingga 27 Februari 2025.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE