PETALING JAYA – Tekstur gula-gula ‘gummy eyeball’ yang licin dan kenyal menyebabkan ia mudah tergelincir terus ke dalam tekak sebelum sempat dikunyah, sekali gus menjadikannya sangat berbahaya.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi perkongsiannya, gula-gula tersebut boleh menjadi perangkap maut kerana ia adalah penyendal saluran pernafasan kanak-kanak yang sempurna.
“Selain itu, bentuknya bulat dan besar yang mana jika tidak dikunyah sempurna, ia boleh tersangkut di saluran pernafasan.
“Ia juga sukar dikeluarkan jika tersedak, berbeza dengan makanan keras yang boleh dihentak keluar, gula-gula ini melekit dan boleh menyumbat saluran udara sepenuhnya,” menurut PHM pada hantaran Facebook.
‘Gummy eyeball’ juga lebih tinggi risiko kepada kanak-kanak kecil memandangkan mereka belum pandai mengunyah dengan betul serta lebih mudah panik jika tercekik.
“Kanak-kanak bukan tahu bahaya, mereka hanya tahu makanan itu manis dan seronok dimakan. Jika nampak gula-gula ini dijual di sekolah atau kedai berhampiran, laporkan dan suarakan kebimbangan anda.
“Kita harap ada keajaiban untuk anak kecil ini. Jangan biarkan tragedi ini berulang,” kata PHM.
Kosmo! melaporkan, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang sebelum ini dilaporkan kritikal akibat tercekik gula-gula gummy eyeball telah meninggal dunia, kira-kira pukul 11 malam tadi.
Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin sebelum ini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), menghembus nafas terakhir di sisi ibu bapanya.
Kanak-kanak itu dipercayai membeli dua biji gula-gula gummy di sebuah gerai sebelum sesi persekolahan Kelas al-Quran dan Fardu Ain di sebuah sekolah kebangsaan di Butterworth, Selasa lalu.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa dikatakan tercekik gula-gula tersebut dan mengalami kesukaran bernafas serta sempat berjalan ke arah guru sebelum rebah secara tiba-tiba. – KOSMO! ONLINE