PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa gula-gula ‘gummy eye ball’ dilarang dijual di semua platform dalam talian dan pasaran domestik di mana tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk boleh dibuat berdasarkan peraturan sedia ada.
Ini kerana, menurut KKM, siasatan mendapati produk itu telah menyalahi keperluan pelabelan
yang diperuntukkan di bawah Peraturan peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.
“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) ingin memaklumkan bahawa saiz atau bentuk sesuatu makanan adalah tidak
dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983.
“Ia kecuali bagi konfeksi jeli terkawal dengan saiz dan bentuk yang berdiameter kurang atau sama dengan 45 milimeter hendaklah dilabel dengan Amaran Boleh Menyebakan Risiko Tercekik dan perkataan Tidak Sesuai Bagi Kanak-Kanak Bawah Umur 3 Tahun,” katanya dalam satu kenyataan tadi.
Dalam masa sama, KKM meminta orang ramai terutama ibu bapa untuk memantau dan menasihati anak-anak supaya lebih berhati-hati
dalam pemilihan makanan, terutama makanan mempunyai risiko tercekik.
“Bahaya tercekik adalah satu risiko yang signifikan, terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
“Risiko ini meningkat apabila makanan tidak dikunyah dengan sempurna atau ditelan secara keseluruhan.
“Insiden tercekik lebih kerap berlaku
dengan makanan yang keras, kenyal, kecil dan berbentuk bulat yang mudah tersekat di saluran pernafasan,” jelasnya.
Katanya, sebarang pengambilan apa-apa makanan oleh kanak-kanak hendaklah berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
“KKM akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan
keselamatan makanan serta mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE