MARANG – Kelibat seekor buaya yang dikatakan berenang berhampiran Jambatan Marang di sini, semalam menggemparkan penduduk di daerah ini.
Ia tersebar menerusi klip video berdurasi 40 saat memaparkan kelibat buaya itu di media sosial.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong
berkata, pihaknya sedang melakukan pemantauan walaupun tiada laporan rasmi berhubung penemuan haiwan reptilia berkenaan setakat ini.
“Siasatan sedang dilakukan di sekitar Sungai Marang khususnya berhampiran Jambatan Marang untuk menjejak buaya terbabit.
“Individu yang pernah terserempak atau mempunyai maklumat berhubung haiwan reptilia berkenaan dimohon tampil membantu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE