LONDON – Pada usia 24 tahun, seorang gadis, Mia McGarth di Britain sudah dapat menyimpan sebanyak £75,000 (RM420,000), lapor akhbar New York Post semalam.
Dia berbuat demikian dengan mengurangkan perbelanjaan termasuk kos makanan kerana merancang bersara awal.
Mia menjimatkan wang dengan makan sarapan berharga £0.50 (RM2.80) berupa telur dan roti setiap hari.
Melalui cara itu, dia dapat mengelak daripada membeli kopi berjenama apabila keluar rumah dan tidak pernah mewarnakan kukunya.
“Saya makan sarapan pagi (RM2.80) setiap hari supaya saya boleh bersara pada usia 40 tahun,” katanya.
Mia juga menunjukkan secawan kopi, telur hancur dan roti bakar yang biasa dia makan demi bajetnya.
Dia kini menyimpan £75,000, sebahagian wang itu hasil pelaburan sahamnya.
Mia turut menjimatkan wang dengan tinggal di rumah dan tidak menyewa kediaman selain membeli pakaian terpakai.
Kata Mia, dia juga berusaha untuk menjadi seorang pesohor media sosial dan model fesyen. – AGENSI