MANCHESTER – Prestasi teruk yang dipamerkan oleh Manchester United menyebabkan masa depan pengendalinya, Ruben Amorim menjadi bualan hangat apabila beliau dikaitkan bakal meninggalkan kelab itu sama ada secara sukarela atau dipecat.
Sejak mengambil alih tugas di Old Trafford pada November, Amorim tewas sembilan dalam 21 perlawanan untuk semua kejohanan, malah turut berdepan lima kekalahan aksi di laman sendiri sekali gus menyebabkan gaya permainannya mula menjadi persoalan.
Biarpun terus berdepan keputusan negatif pada setiap perlawanan, Amorim masih kekal mempertahankan formasi 4-3-3 yang digunakan bersama kelab lamanya, Sporting Lisbon biarpun pemain United terus gagal memberikan aksi terbaik.
Berdasarkan prestasi berkenaan, timbul khabar angin bahawa pihak pengurusan United dilapor mengambil langkah awal apabila cuba mengenalpasti pengendali baharu berpotensi sekiranya mereka terpaksa memecat Amorim.
Bagaimanapun, laporan terbaharu itu bertentangan dengan laporan sebelum ini apabila pihak pengurusan United dilaporkan akan terus memberikan sokongan kepada Amorim dan tidak meletakkan harapan besar untuk melihat prestasi mereka melonjak pada hujung musim ini.
Tiga nama berkenaan yang dikaitkan adalah Zinedine Zidane sementara Thomas Tuchel dan Mauricio Pochettino yang turut dikaitkan ketika ini sudah memiliki tugas bersama pasukan kebangsaan England dan Amerika Syarikat.
Tuchel memiliki 18 bulan kontrak bersama England sebelum ini dikatakan menolak tawaran United, manakala Pochettino tidak dipertimbangkan ke jawatan itu sebelum mereka memilih Amorim menyebabkan Zidane menjadi satu-satunya calon yang ada. – AGENSI