LONDON – Pengendali West Ham United, Graham Potter mengharapkan magis menjelang aksi derbi London bertemu pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal di Stadium Emirates malam esok.
Ini disebabkan West Ham bakal turun tanpa lima pemain utama disebabkan masalah kecederaan menimpa Michail Antonio, Niclas Fullkrug, Vladimir Coufal, Crysencio Summerville dan terbaharu Lucas Paqueta.
“Paqueta mengalami masalah di bahagian pergelangan kaki selepas bertembung dengan Aaron (Wan Bissaka) dalam sesi latihan baru-baru ini.
“Dia akan terlepas perlawanan ini (bertemu Arsenal) dan mungkin juga aksi seterusnya bertemu Leicester City.
“Selain Paqueta, Vladi (Coufal) masih belum pulih dan Cry (Summerville) juga masih menanti tarikh. Kedua-duanya mungkin selepas rehat aksi antarabangsa nanti,” kata Potter.
Bekas pengendali Chelsea dan Brighton itu sudah pasti ‘pening kepala’ untuk mencorak strategi terbaik dalam usaha menyelamatkan West Ham daripada jatuh ke Liga Kejuaraan Inggeris musim depan.
Buat masa ini, West Ham menduduki tangga ke-16, dua anak tangga daripada kelompok penyingkiran yang kini dihuni oleh Ipswich Town, Leicester dan Southampton.
Bagaimanapun, Potter percaya beliau mampu mengubah situasi kelab dengan mengelak penyingkiran dalam baki 13 aksi musim ini kepada mencabar slot ke pentas Eropah pada saingan musim depan. – AGENSI