PETALING JAYA – Dua saksi kanak-kanak dalam kes pengabaian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin selesai memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup (in-camera) itu, kedua-dua saksi kanak-kanak terbabit turut membuat pengecaman dan mengesahkan mengenali Ibu Zayn iaitu Ismanira Abdul Manaf.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian, salah seorang saksi kanak-kanak itu turut mengesahkan melihat Zayn kali terakhir pada waktu tengahari, 5 Disember 2023.
“Dua saksi kanak-kanak hari ini telah selesai memberi keterangan untuk pemeriksaan balas oleh pihak peguam dan pemeriksaan semula pendakwaraya. Dua kanak-kanak itu juga turut cam ibu Zayn (Ismanira),” kata Kamarul Iman ketika ditemui selepas prosiding kes yang dilakukan secara tertutup.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi 11 Mac ini.
Pada 17 Februari lalu, Hakim Syahliza memutuskan dua saksi kanak-kanak itu memberi keterangan secara tertutup.
Beliau membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk prosiding itu berlangsung secara tertutup dengan dua kanak-kanak itu ditemani orang dewasa yang akan ditempatkan jauh dari saksi itu.
Pihak pendakwaan ketika itu memaklumkan dua saksi kanak-kanak tersebut akan memberi keterangan mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.
Pada masa sama, media tidak boleh mendedahkan identiti mereka dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika melanggar undang-undang.
Semalam Hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan selesai melawat kawasan Blok R di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini tempat kanak-kanak autism itu dilaporkan hilang sebelum ditemui mati di aliran anak sungai.
Selain pihak mahkamah, turut hadir di lokasi kejadian ialah dua tertuduh iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf dan enam saksi pendakwaan.
Keenam-enam saksi pendakwaan yang hadir itu ialah saksi pendakwaan (SP) keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, SP kelima, Asisten Superintendan Nor Zaharuddin, SP ke-16 Rashidah Rajali, 37, SP ke-12 Siti Natrah Ismail, 68, dan dua saksi kanak-kanak.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka.
Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE