JELI – Tembelang seorang pemandu lori yang membawa sebanyak 2,790 kilogram (kg) daun ketum dengan menyewa sebuah lori milik sebuah syarikat pengedar sejadah interakrif terbongkar apabila kenderaan tersebut ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Batu 13 Jalan Raya Timur Barat dekat Batu Melintang di sini semalam.
Lori jenis Isuzu itu ditahan kira-kira pukul 6.15 petang semasa anggota polis menjalankan operasi di SJR tersebut.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap lori dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun yang berasal dari Terengganu selepas mendapati kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai sebanyak 279 bungkusan plastik hitam dengan setiap satunya mengandungi daun ketum seberat 10 kg.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek dipercayai mengambil ketum yang dianggarkan bernilai RM111,600 itu dari Kedah untuk dijual bagi pasaran Pasir Puteh dan Machang.
“Lelaki terbabit juga mengambil upah sebanyak RM800 bagi satu trip perjalanan untuk membawa daun-daun ketum tersebut ke Kelantan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini hari.
Saari memberitahu, siasatan lanjut mendapati, suspek itu sudah menjalankan kegiatan membawa daun ketum sejak dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE