GEORGE TOWN – Jenazah kanak-kanak Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10 tahun, yang meninggal dunia semalam akibat tercekik gula-gula ‘gummy eyeball’ akan menjalani proses bedah siasat pagi ini.
Bapanya, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata, dia memohon untuk diberi ruang sebentar untuk menyelesaikan urusan bedah siasat anaknya itu.
”Nanti saya akan cakap selepas selesai urusan bedah siasat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini sebentar tadi.
Mohammad Fakhruddin bersama isteri, Nuraini Mohamad Isa, 37, serta ahli keluarga mereka tiba di Jabatan Perubatan Forensik HPP kira-kira pukul 9.28 pagi tadi.
Mohamad Fahmi yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 11 malam semalam selepas dilaporkan kritikal akibat tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.
Mangsa sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain di Sungai Dua, Butterworth pada Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa dikatakan meminta izin daripada gurunya untuk ke tandas selepas dia dikatakan tersedak namun tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. – KOSMO! ONLINE