KUALA LUMPUR – Berkali-kali kisah cintanya tidak sampai ke jenjang perkahwinan, duda popular Azri Iskandar ternyata tetap terbuka hati untuk kembali hidup berpasangan.
Mengakui kini kembali menemukan cinta baharu dan sedang berada dalam fasa mengenal budi hati seorang wanita, Azri, 56, bagaimanapun kini lebih berhati-hati dalam berkongsi kisah peribadi.
“Memang benar saya sedang ‘berkawan’ dengan seorang wanita. Kenal hati budi dulu, kalau sudah betul baru saya cerita.
“Takut hendak kongsi macam cerita sebelum ini sebab tidak menjadi. Malu sebab perkara itu diperkatakan. Harap-harap tidaklah jadi seperti itu lagi.
“Saya belajar daripada pengalaman, sesuai waktunya barulah boleh bercerita. Nanti nampak macam orang muda sangat, tidak sesuai usia macam saya nak cakap soal cinta,” katanya.
Azri hadir bersama wanita yang ‘sedang ingin dicintainya’ itu pada sidang media khas bekas isterinya iaitu pelakon Ellie Suriaty di Kuala Lumpur semalam.
Tambahnya bintang Puntianak Harum Sundal Malam itum, perkenalannya bersama buah hati terbaharu mendapat restu bekas isteri dan anak-anaknya memandangkan wanita itu adalah rakan kepada Ellie.
“Dia ada bisnes dan merupakan kawan kepada Ellie. Bekas isteri yang minta kami berkawan. Baru kenal dalam dua bulan.
“Anak-anak juga tiada masalah untuk saya berkawan dengan sesiapa. Apa yang penting saya sihat dan gembira,” ujarnya.
Dalam masa sama dia juga akui kisah cinta yang hangat diperkatakan sebelum ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosinya.
“Sebelum ini emosi saya terganggu sebab tidak semua diceritakan dengan sepenuhnya dan sebenarnya. Nampak macam saya yang salah, tetapi keadaan ketika itu yang salah. Tiada siapa betul dan salah. Tiada jodoh saya sebelum ini.
“Saya tidak pernah tutup pintu hati untuk terima pasangan. Kita hidup perlukan pasangan, jika tidak sunyi, ” jelasnya.
Azri dan pelakon Ellie Suriaty bercerai talak satu pada 17 Mei 2023 selepas 19 tahun hifup bersama. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 20, dan Nur Azreen, 16.
Selepas kembali solo, Azri pernah dikaitkan dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Dr. Azra dan sempat bertunang namun, hubungan mereka tidak bertahan lama.
Perkara sama terjadi selepas rapat dengan usahawan bernama Datuk Noora Kay tahun lalu.
Hasrat Azri untuk berkahwin tidak kesampaian apabila wanita itu memutuskan hubungan dengan alasan tiada keserasian antara mereka.- KOSMO! ONLINE