“SAYA ada banyak bisnes nak diuruskan sampai tak sempat nak fikir tentang kesulitan yang menimpa diri.”
Demikian kata pendakwah bebas popular, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid apabila disoal tentang impak kontroversi yang menimpanya, termasuk tauliah mengajar di beberapa negeri ditarik balik.
Don, 41, juga ditamatkan khidmatnya sebagai pengacara program Salam Baitullah siaran RTM berikutan memberi kenyataan mengelirukan mengenai ibadah berpuasa pada hari tasyrik.
“Saya berpegang dengan kata-kata: ‘If the opportunity doesn’t knock, you build another door’ (kalau peluang itu tiada, kita cari peluang yang lain).
Akhir zaman
Sentiasa percaya bahawa manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan, lulusan Universiti Al Azhar di Kaherah, Mesir itu berkata, apa yang berlaku dalam hidupnya akan sembuh dari masa ke masa.
“Nabi beritahu, akhir zaman mesti kena banyak khilaf dan kekeliruan. Itu yang pertama.
“Keduanya, mesti kena banyak benda baik nampak buruk dan sebaliknya (benda buruk nampak baik).
Berkenaan apa terjadi dalam karier saya sebagai pendakwah, kalau saya lawan akan jadi buruk.
“Biarlah sembuh ikut masa satu per satu. Apa terjadi buat saya sentiasa munasabah diri. Wallahi, Allah takkan timpakan perkara buruk kepada kita. Percaya perkara itu,” katanya pada sidang media pelantikannya sebagai duta kebaikan Alkhair Malaysia, baru-baru ini.
Dari sehi emosi, sebagai manusia, Doan mengakui terkesan dengan apa yang berlaku, namun menganggap semua itu sebagai ujian kecil berjuang di jalan agama.
“Mesti terkesan sebab saya manusia. Kalau tak, lagi ‘handal’ saya berbanding Rasulullah. Ramai lagi orang lain yang berjuang di jalan Allah diuji.
“Kalau timbul isu menyebarkan hadis tak betul, Imam al-Ghazali yang soleh pun dikatakan begitu. Apatah lagi saya yang kecil ini.
“Dari segi emosi, paling terkesan semestinya keluarga dan mereka sekeliling saya (termasuk pekerja). Di situlah saya jalankan tanggungjawab sebagai pemimpin. Saya jumpa orang bisnes untuk minta nasihat supaya jadi majikan yang baik,” jelasnya.
Duta kebaikan
Dalam pada itu, ditanya tentang peranannya sebagai duta kebaikan Alkhair, Don berkata, dia bersyukur masih diberi kepercayaan walaupun diuji dengan pelbagai perkara.
“Alhamdulillah, rezeki itu ada sahaja di mana-mana. Tidak lama lagi nak masuk bulan Ramadan, saya akan jalankan tugas sebaik mungkin untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Pengerusi Alkhair Malaysia, Azfar Abdullah berkata, dengan melantik duta kebaikan terbaharu bakal memberi inspirasi selain menyuntik semangat menyebarkan kasih sayang kepada golongan memerlukan.
Ujarnya, pelantikan itu sejajar dengan visi mereka iaitu menjadi rakan kemanusiaan yang memberi fokus meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
“Duta Kebaikan Alkhair yang baharu bakal memberi inspirasi, serta menyuntik semangat baharu dalam menyebarkan kasih sayang dan harapan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.