PETALING JAYA – Orang ramai tetap mempertahankan tindakan penjual menjual gula-gula gummy terutamanya di platform atas talian meskipun makanan itu telah meragut nyawa seorang kanak-kanak hari ini.
Malah mereka menganggap tindakan penjual itu tidak salah kerana dia hanya mencari rezeki dan bagi mengelakkan tragedi itu berlaku ibu bapa patut memantau apa yang dimakan atau dibeli oleh anak mereka.
Berdasarkan beberapa komen di media sosial seorang penjual gummy berkenaan, segelintir pengguna menganggap tindakan mengharamkan penjual gula-gula berkenaan sebagai tidak adil kepada penjual yang mencari rezeki.
“Jangan salahkan aybamxgummy, kalau dah tak kunyah betul mestilah melekat, kemalangan terjadi, nanti tercekik air putih, takkan nak boikot air putih pulak,”kata dellyna.mxlly.
“Gummy ni cam dodol, ada je kes tercekik dodol, tak ada pula yang salahkan dodol,”tulis
@Levia.
“Gummy tu besar, memang tercekik kalau sumbat sebiji terus, macam makan rambutan , masuk mulut sebiji pun boleh tertelan sekali biji,”kata @Matdan.
Sementara itu, menerusi satu siaran langsung penjual gummy yang dikenali sebagai farahdinamaran berkata dia terpaksa melelong gula-gula berkenaan bagi mengelakkan daripada mengalami kerugian.
“Saya nak ‘clearkan’ stok sahaja ni kak supaya dapat modal saya semula. Janganlah akak minta harga murah.
“Saya habiskan stok ni (gummy) dah tak jual dah,”ujarnya dalam nada sedih.
Pada masa sama, beberapa netizen turut memberi kata semangat kepada penjual terbabit supaya bertabah menghadapi ujian semasa mencari rezeki.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang sebelum ini dilaporkan kritikal akibat tercekik gula-gula gummy eye ball telah meninggal dunia, kira-kira pukul 11 malam semalam.
Berita sedih itu dikongsi ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, yang memaklumkan bahawa Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) menghembus nafas terakhir di sisi ibu bapanya.-KOSMO! ONLINE