TEL AVIV – Tiga bas penumpang meletup di Israel dengan polis menyifatkan kejadian itu sebagai serangan pengganas, lapor akhbar New York Post semalam.
Dua bas kosong meletup serentak di tempat letak kereta berasingan di bandar Bat Yam, diikuti oleh bas ketiga, demikian menurut laporan media Israel.
Jurucakap Polis Israel, Aryeh Doron berkata, peranti letupan tambahan turut dipasang pada dua bas lain di Bat Yam dan Holon tetapi gagal meletup.
Rakaman dimuat naik di media sosial menunjukkan beberapa kenderaan terbakar sambil mengeluarkan asap tebal ke ruang udara.
“Tiada kematian dilaporkan. Kami juga menerima beberapa laporan mengenai letupan melibatkan beberapa bas di lokasi berbeza di Bat Yam.
“Secara keseluruhan, lima bom dipasang pada lima bas berbeza di tengah Israel.
“Pasukan polis dalam jumlah besar berada di tempat kejadian untuk mencari suspek, manakala unit pelupusan bom sedang mengimbas objek lain yang mencurigakan,” kata Ketua Polis Tel Aviv, Haim Sargarof kepada pemberita.
Sebagai tindak balas, Menteri Pertahanan, Israel Katz mengarahkan Pasukan Pertahanan Israel untuk meningkatkan operasi di Tebing Barat.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu juga mengarahkan polis dan Agensi Keselamatan Israel yang dikenali sebagai Shin Bet, untuk ‘meningkatkan aktiviti pencegahan’ bagi mengelak serangan serupa berlaku.
Pihak berkuasa turut menghentikan operasi semua bas dan kereta api untuk mencari bom tambahan.
“Pencarian besar-besaran sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek,” tambah polis.- AGENSI