PETALING JAYA – Hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes pengabaian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin selesai melawat kawasan Blok R di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini tempat kanak-kanak autism itu dilaporkan hilang sebelum ditemui mati di aliran anak sungai.
Selain pihak mahkamah, turut hadir di lokasi kejadian ialah dua tertuduh iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf serta
enam saksi pendakwaan.
Keenam-enam saksi pendakwaan yang hadir itu ialah saksi pendakwaan (SP) keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, SP kelima, Asisten Superintendan Nor Zaharuddin, SP ke-16 Rashidah Rajali, 37, SP ke-12 Siti Natrah Ismail, 68, dan dua saksi kanak-kanak.
Turut hadir dalam lawatan itu tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian turut manakala pihak pembelaan diwakili peguam-peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.
Kesemua pihak-pihak yang terlibat kemudian selesai melawat kawasan apartment itu kira-kira pukul 12.35 tengahari.
Sementara itu, Ramzani ketika ditemui selepas prosiding berkata, keenam-enam saksi pendakwaan yang hadir hari ini bagi membuat pengesahan dan pengecaman tempat Zayn hilang secara tepat sebelum ditemui mati.
“Pengecaman adalah kawasan pencarian arwah Zayn dan juga tempat kanak-kanak bermain serta tangga yang dikatakan nampak ibu Zayn di mana kali terakhir Zayn dilihat saksi. Kes akan bersambung esok di mahkamah dengan pihak pembelaan akan menyoal balas saksi-saksi,” kata peguam itu.
Terdahulu, kesemua pihak hadir kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi anggota polis masuk ke kawasan apartment itu.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh yang mendengar perbicaraan kes itu, menetapkan hari ini bagi pihak-pihak terlibat termasuk saksi-saksi yang terlibat membuat lawatan di lokasi kejadian tersebut.
Hakim itu memutuskan demikan selepas pihak pendakwaan mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan itu yang dikaitkan dengan siasatan kes ‘Orang Hilang’ berikutan laporan polis yang dibuat ibu Zayn.
Katanya, lawatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Mahkamah Sesyen di sini meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap dua pegawai polis pada perbicaraan itu.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka
Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE