GEORGE TOWN – Seorang wanita warga asing ditahan selepas kereta yang dia pandu dikatakan terlanggar seorang pejalan kaki hingga mangsa maut di lokasi kejadian di Jalan Jelutong, di sini semalam.
Wanita berusia 40 tahun tersebut dikatakan memandu kereta milik suaminya yang dipercayai seorang lelaki tempatan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan pihaknya mendapati kemalangan tersebut berlaku di Jalan Jelutong menghala ke Gelugor, kira-kira pukul 10.25 malam tadi.
Menurutnya, penahanan wanita terbabit dilalukan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
“Pemandu kereta terbabit telah terlanggar mangsa seorang lelaki warga tempatan berumur 18 tahun yang berada di sebelah kanan jalan berhampiran sebuah bank.
“Mangsa telah mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini, hari ini.
Justeru katanya, mana-mana saksi yang melihat kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan pihak polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspekstor, Noor Athirah Najihah Bukhari ditalian: 010-4055142. – KOSMO! ONLINE