KLUANG – Remaja perempuan yang dilaporkan hilang selama seminggu selepas keluar dari rumah pada Rabu minggu lalu bersembunyi di rumah nenek teman lelakinya di Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, polis mengesahkan menerima laporan penemuan semula Nur Fakhira Dania Zahir, 14, daripada ibunya, Norita Kasmin kira-kira pukul 10 malam semalam.
Katanya, hasil siasatan pihaknya, teman lelakinya menyembunyikan remaja perempuan itu di sebuah rumah di Jalan Kiara, Kampung Dato Abdul Rahman Yassin, di sini.
“Remaja berkenaan menyatakan telah keluar dengan teman lelakinya pada malam kejadian dan memberitahu mahu lari dari rumah.
“Susulan itu, lelaki itu membawa ke rumah neneknya di Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin dan tinggal selama kira-kira seminggu,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.
Menurut Bahrin lagi, pemeriksaan awal mendapati remaja perempuan itu ditemui dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.
Sebelum itu, Kosmo! hari ini melaporkan remaja perempuan itu ditemui di sebuah rumah di Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin namun tidak dapat dipastikan rumah wanita tua yang dimaksudkan oleh ibunya.
Ketua Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin, Norzam Mohd Amin turut menafikan adanya seorang wanita tua yang sudah bertongkat tinggal seorang di kampung berkenaan.-KOSMO! ONLINE