PETALING JAYA – Seorang pemuda berdepan pengalaman seram apabila terdengar suara gelak ketawa seorang warga emas dipercayai nenek sewaktu dia melalukan aktiviti kembara atau hiking di dalam hutan.
Video suara gelak ketawa itu dikongsikan pemuda tersebut pada TikTok Nazihsopian, namun tidak dimaklumkan lokasi berkenaan.
Pada waktu itu, dia melakukan aktiviti kembara atau ‘hiking’ dengan kumpulan lain, namun sewaktu kejadian, dia berada jauh dengan mereka.
Difahamkan, pada mulanya pemuda tersebut mengalami rasa panas di telinga sebelum kedengaran suara gelak ketawa nenek tersebut.
“Terakam suara nenek. Dikatakan gunung ni banyak perkampungan bunian, masa ni kumpulan hiking berada jauh. Biasalah dah seorang, mesti kita nyanyi atau baca apa yang kita tahu. Waktu tengah hari lagi, tempat rahsia,” katanya pada hantaran berkenaan.
Dalam video itu, Nazih membaca beberapa ayat suci al-Quran dan kedengaran jelas suara gelak ketawa pada video itu.
“Ha ha ha, hei tengok ni cu. Ha ha ha, hai,” antara suara yang dapat didengari pada video berkenaan.
Menerusi ruangan komen, ramai yang berkongsi pengalaman seram sewaktu melakukan aktiviti kembara hutan dan mendaki gunung.
“Saya pula masa naik dengan kumpulan hiking, bila nak turun tu lama sangat mereka lepak. Jadi saya turun seorang diri. Naik Gunung Santubong, masa turun dengar juga bunyi panggil-panggil. Tapi otak tu memang fikir nak balik, nak mandi dah,” komen seorang pengguna TikTok.
“Pernah kena juga waktu hiking, ada bisik sekilas ‘terjun la’. Meremang,” kata seorang wanita.
“Kerap hiking seorang, pernah naik waktu tak berapa sihat. Balik tu kaki bengkak tak boleh pijak. Dua bulan juga bertongkat. Rupa-rupanya tersenggol nenek alam sebelah, marah member. Dah aku tak nampak,” kata seorang lagi pengguna TikTok.
Selain itu ada juga yang kagum dengan keberanian Nazih berdepan suasana seram berkenaan.
“Macam mana brother ni kekal bertenang,” kata seorang pengguna TikTok.
“Betul-betul bunian ni ganggu yang iman kuat. Kalau orang-orang biasa dia buat tak tahu. Tambah jenis kuat maksiat, dia orang geli terus,” komen pengguna media sosial yang lain. – KOSMO! ONLINE
@nazihsopian Terecord suara nenek. Dikatakan gunung ni banyak perkampungan bunian. Masa ni kumpulan hiking berada jauh. Biasala dah sorang mesti kita nyanyi/baca apa yg kita tahu. Waktu tengahari lagi, Tempat rahsia. #hiking #nature ♬ original sound – Nazih