BALING – Seorang tukang ukur kayu maut ditimpa pokok yang ditebang dalam kejadian di Kampung Batu 7 di Tawar, di sini tengah hari tadi.
Tajudin Zakaria, 62, yang berasal dari Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Anak saudaranya, Nariza Mahmod, 47, berkata, sebelum kejadian dia difahamkan bapa saudaranya berada di bawah bukit dan melakukan kerja-kerja mengukur kayu pokok yang ditebang rakan sekerjanya.
“Rakannya tidak tahu bila bapa saudara naik ke atas bukit (tempat penebangan pokok). Tiba-tiba dia terdengar jeritan sakit akibat ditimpa pokok,” katanya hari ini.
Menurut wanita itu, jarak lokasi arwah melakukan kerja-kerja mengukur kayu dan tempat penebangan pokok adalah lebih 100 meter.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bomba dan Penyelamat Baling, Pegawai Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.34 tengah hari tadi.
“Sembilan anggota dikejarkan ke lokasi dan mendapati seorang pekerja dihempap sebatang pokok semasa melakukan aktiviti menebang pokok di kawasan tersebut. Mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Kulim untuk dibedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE