KUALA LUMPUR – Kes pertuduhan khalwat membabitkan penyanyi Aliff Aziz dan pelakon Ruhainies yang dijadualkan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini dipercayai dibawa ke tarikh lain.
Ini kerana kelibat kedua-dua selebriti sensasi itu mahupun peguam mereka tidak kelihatan di mahkamah sehingga pukul 11 pagi tadi.
Semakan Kosmo! Online menerusi paparan senarai kes yang dibicarakan hari ini di dewan kamar mahkamah juga tiada tertera nama Aliff mahupun Ruhainies.
Terdahulu, pada 17 Oktober lalu Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan dua tarikh iaitu hari ini dan 27 Februari 2025 bagi perbicaraan kes Aliff dan Ruhainies yang didakwa atas pertuduhan berkhalwat di sebuah kondominium 9 Mac tahun lepas.
Sebelum itu pada 3 Julai tahun sama, Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 34, dan Ruhainies, 32, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan dinyatakan.
Aliff didakwa berada bersama Ruhainies yang bukan isteri atau mahramnya dalam keadaan boleh menimbulkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral di kondominum itu pada tarikh berkenaan pukul 12.35 pagi.
Ruhainies pula didakwa berada bersama Aliff yang bukan suami atau mahramnya dalam keadaan boleh menimbulkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral pada tempat, masa dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan itu, Aliff didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, manakala Ruhainies didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, peguam syarie mewakili kedua-dua selebriti terbabit, Abdul Hadi Mohamad Salleh tidak dapat dihubungi kerana menutup talian telefon.
Ruhainies atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas pula belum memberikan sebarang maklum balas dan tidak menjawab panggilan telefon. – KOSMO! ONLINE