fbpx

TFC mahu jadikan The Cats mangsa ‘lepas geram’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Skuad TFC mengalami kekalahan mengejut kepada KL City pada aksi minggu lalu. - Foto ihsan TFC

TERENGGANU FC (TFC) mahu melupakan kekecewaan tewas mengejut 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) pada minggu lalu sebaliknya fokus memburu tiga mata pada pertemuan dengan Kuching City dalam aksi Liga Super pada malam esok.

Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, kemenangan dengan skuad The Cats amat penting bagi memastikan misi mereka untuk menamatkan musim ini di tempat ketiga ke atas kembali ke landasan sebenar.

“Kita tidak boleh keciciran mata lagi, kemenangan dengan Kuching City di gelanggang sendiri pada malam esok (ini) adalah penentunya.

“Saya meminta pemain-pemain saya melupakan kekalahan dengan KL City tempoh hari dan kembali fokus serta mengulangi kesilapan sama kali ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Begitupun, Badrul Afzan mengakui skuad TFC bakal turun sedikit tempang tanpa kelibat arkitek mereka, Nurillo Tukhtasinov yang digantung akibat menerima kad kuning pada aksi lalu.

Beliau berkata, sayap harapan, Akhyar Rasid juga tidak pasti diturunkan kerana kurang cergas disebabkan baru pulih daripada cirit-birit.

“Ketiadaan kedua-dua pemain itu berkemungkinan digantikan oleh Akram Mahinan dan Engku Nur Syakir Engku Yacob yang sudah pasti akan bermain sebaik mungkin.

“Kami pun sudah melatih ketajaman serangan bagi memastikan masalah ketumpulan yang berlaku sebelum ini diatasi sepenuhnya,” katanya.

Badrul Afzan mengakui setiap peluang yang bakal didapati dalam aksi tersebut kelak perlu dimanfaatkan memandangkan Kuching FC terkenal dengan keutuhan barisan pertahanannya.

Tambah beliau, benteng pertahanan skuad Sang Penyu juga harus mengawal aksi lincah duo penyerang lawan iaitu Jordan Mintah dan Tchetche Kipre.

“Mereka ini bekas pemain yang sudah tahu kelebihan dan kelemahan kita. Apapun barisan pertahanan saya pun kenal benar kemampuan kedua-dua pemain ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI