BESUT – Seorang pesara kerajaan kerugian RM60,000 apabila diperdaya sindiket penipuan atau scammer yang mendakwa kononnya dia terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram pada, awal bulan ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, pada mulanya, wanita berusia 64 tahun yang menetap di Permaisuri, Setiu itu telah dihubungi suspek yang mendakwa kononnya wakil agensi insurans pada pukul 2.15 petang, 2 Februari lalu.
“Suspek mendakwa mangsa telah menuntut pampasan insurans di Hospital Ampang, Selangor selain sedang disiasat atas dakwaan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram melibatkan 23 akaun bank berasingan.
“Mangsa yang ketakutan kemudiannya mengikut arahan suspek membuka akaun sebuah bank secara dalam talian menggunakan nombor telefon bimbit diberikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Md. Sani berkata, wanita warga emas terbabit kemudiannya mengikut arahan suspek memindahkan RM25,000 wang simpanannya termasuk Tabung Haji ke dalam akaun bank baharu terbabit di cawangan bank itu di Jertih di sini.
Beliau berkata, pesara tersebut terus mengikut arahan suspek memindahkan pula wang berjumlah keseluruhan RM35,000 ke dalam dua akaun bank berasingan.
“Mangsa melakukan pemindahan wang berkenaan menerusi tiga transaksi antara 4 Februari hingga 16 Februari lalu.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Gerakan mengumpul bukti dan menjejak suspek sedang giat dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE