BENTONG – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kejadian banjir yang berlaku di Kampung Karak Setia dan PRIMA Pahang di sini sebagai ‘rahmat’ bagi mengenal pasti kekurangan di kawasan tersebut.
Titah baginda, antara kekurangan yang dikenal pasti adalah sungai yang begitu cetek dan perlu diperdalamkan bagi mengelak air melimpah ke tebing.
“Tadi kita dengar Pegawai Daerah Bentong (Datuk Seri Mohd. Shahid Ismail) cakap untuk tinggikan ban di Sungai Bentong dan akan ada projek tebatan banjir. Difahamkan (bernilai) RM300 juta.
“Saya ingat itu (ban) mungkin dapat mengurangkan kesan banjir besar, namun saya masih lagi dengan pendapat Sungai Bentong atau sungai mana sekalipun perlu didalami, lebih-lebih lagi apabila kita buat ban atau apa-apa tebatan sekalipun.
“Ini akan mengurangkan tekanan kepada projek-projek (tebatan) baru ini,” titahnya selepas berkenan berangkat mencemar duli menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, baginda bertitah, kajian untuk meluruskan laluan air Sungai Bentong perlu dilakukan sebagai langkah jangka panjang bagi mengelak musibah sama berulang. – KOSMO! ONLINE