fbpx

Sindiket ‘scammers’ tumpas, 46 warga asing pelbagai negara ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jafri Embok (dua kanan) menunjukkan antara barang rampasan pada sidang akhbar JIM menumpaskan sindiket penipuan tawaran penjualan saham dan hartanah secara dalam talian yang tidak wujud di Jabatan Imigresen Putrajaya di sini, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Satu sindiket penipuan dalam talian (scammer) didalangi warga asing mampu meraih keuntungan antara RM100,000 hingga RM150,000 sehari dengan menawarkan tawaran penjualan saham, barangan dan hartanah yang tidak wujud.

Lebih berani, sindiket berpusat di 17 unit kediaman mewah di Kuchai Lama, Kuala Lumpur itu turut berfungsi sebagai pusat panggilan yang turut menyasarkan mangsa di Malaysia dan luar negara.

Sindiket yang baru beroperasi sejak tiga bulan itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan menerusi serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekitar pukul 11.30 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, susulan serbuan itu, pihaknya menahan 46 warga asing pelbagai negara berusia antara 23 hingga 54 tahun.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada 14 lelaki warga China, 15 lelaki dan empat wanita (Indonesia), seorang lelaki dan dua wanita (Myanmar) selain dua lelaki (Bangladesh), dua wanita (Laos) dan enam wanita warga Thailand.

“Siasatan awal mendapati, pusat panggilan itu turut berperanan menghubungi pelanggan bagi menawarkan pembelian emas, hartanah, kapal mewah, pelaburan saham, mata wang asing, judi dalam talian dan ‘love scam’.

“Sindiket juga menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, TikTok, WeChat, WhatsApp, Telegram dan pelbagai lagi sebagai medium bagi mencari pelanggan atau mangsa,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, pusat panggilan itu bukan sahaja menyasarkan mangsa di negara ini tetapi turut menjangkau pelanggan dari luar negara terutama dari negara mereka sendiri.

Jafri berkata, modus operandi sindiket adalah mengiklankan tawaran mereka melalui nombor telefon pelanggan atau mangsa yang diperolehi secara rawak.

Menurutnya, apabila pelanggan mula menunjukkan minat dengan tawaran diberikan, mangsa dikehendaki memindahkan wang ke dalam akaun menerusi pautan yang diberikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI