fbpx

Siapa tangkap nyamuk Aedes dapat wang 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANITA menerima wang tunai selepas menyerahkan nyamuk yang ditangkap di Manila, Filipina semalam. - AFP

MANILA – Penduduk di Manila bersemangat menangkap nyamuk Aedes untuk mendapatkan ganjaran 1 peso (RM0.07) dalam inisiatif kerajaan bagi mengekang wabak denggi di Filipina, lapor laman berita Channel News Asia semalam.

Penduduk tempatan akan menerima 1 peso (RM0.07) bagi setiap lima ekor nyamuk Aedes sama ada hidup atau mati. 

Pegawai tempatan, Carlito Cernal berkata, projek yang dimulakannya dapat memberi ‘impak besar’ dalam mengekang penularan penyakit tropika itu apabila digabungkan dengan usaha pembersihan.

Orang ramai mula beratur di luar dewan sambil membawa baldi, cawan dan bekas lain yang diisi dengan nyamuk untuk ditukarkan dengan wang tunai. 

Seorang penduduk bernama Iluminado Candasua membawa tiga nyamuk hidup dalam cawan plastik tertutup sebelum dipindahkan oleh pegawai ke sebuah kotak kaca dengan sinaran ultraungu (UV). 

“Sangat sukar untuk menangkap nyamuk. Hasil tangkapan ini akan dimasukkan ke dalam tabung simpanan untuk membeli telefon bimbit anak saya,” tambah Candasua kepada AFP. 

Jurucakap Jabatan Kesihatan,  Dr Albert Domingo berkata, Filipina menyaksikan ‘peningkatan luar biasa’ kes denggi tahun ini dengan 28,200 pesakit direkodkan setakat 1 Februari lalu, meningkat 40 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Lebih cepat kita membersihkan kawasan sekitar termasuk kawasan yang terdapat air bertakung, maka kita akan lebih berjaya untuk memerangi wabak denggi,” tambahnya,  sambil menggesa penduduk setempat untuk melindungi diri dengan menggunakan ubat nyamuk serta memakai baju lengan panjang. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI