PELUMBA berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom berdepan tekanan selepas mengalami kecederaan lutut hanya beberapa minggu sebelum Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 membuka tirai di Velodrom Nasional, Nilai pada 21 hingga 27 Februari ini.
Shah Firdaus, 28, mengalami kecederaan medial quadriceps pada tendon lutut kanannya ketika menjalani latihan dua minggu lalu.
Situasi itu membataskan kayuhannya kerana dia terpaksa bergantung lebih kepada kaki kirinya dan tidak dapat menggunakan kekuatan penuh pada kaki kanan.
“Bila kecederaan ini berlaku, sesi latihan terganggu dan kayuhan saya terkesan tetapi saya tetap positif menjelang ACC 2025 ini.
“Sudah pasti untuk acara pecut agak berisiko tetapi dalam acara keirin, kita boleh guna pelbagai taktik. Begitupun, kecederaan ini tetap memberi kesan kepada kayuhan saya,” katanya.
Meskipun belum pulih sepenuhnya, Shah Firdaus tetap bertekad memberikan yang terbaik bagi mengekalkan kedudukannya dalam ranking dunia sebagai persiapan ke Kejohanan Dunia di Santiago, Chile pada Oktober nanti.
“Matlamat utama saya kekal kelompok 10 terbaik dunia. Acara pecut individu lebih mencabar kerana saya sukar untuk melakukan pecutan kuat seperti biasa. Mungkin saya perlu gunakan gear lebih kecil.
“Tetapi dalam acara keirin, masih ada peluang kerana ia lebih bergantung kepada taktik. Sasaran saya adalah mara ke final. Selepas itu, baru fikir strategi seterusnya,” jelasnya.