KUALA LUMPUR – Sebagai selebriti terkenal yang juga kakak kepada Ameera Khan, Neelofa mengakui ada berbicara dengan adiknya mengenai hubungan cinta pempengaruh itu bersama aktor Indonesia, Jefri Nichol.
Menurut Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, dia tidak perlu memaklumkan orang luar apa yang dilakukannya secara terperinci.
“Saya tidak perlu kongsi dengan orang luar apa saya lakukan. Sebagai seorang kakak, saya sudah lakukan bahagian saya. Apa yang saya lakukan, tak perlu saya jelaskan.
“Tetapi cukup sekadar saya nak minta orang ramai mendoakan yang terbaik sebab apa yang Allah susun dalam takdir seseorang itu boleh berubah disebabkan doa yang baik-baik.
“Jadi tugas kita adalah mendoakan yang terbaik. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui di Anugerah Ibu Zain yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, di sini, semalam.
Ditanya adakah dia sudah bertemu dengan Jefri, kata bekas pengacara Meletop itu dia enggan mengulas perkara itu.
“Tidak adil untuk bercerita tentang perkara ini. Setiap orang mempunyai pandangan masing-masing. Kedua-dua mereka dikenali ramai. Jadi tak adil untuk saya bercerita tentang mereka,” jelasnya.
Neelofa hadir di Anugerah Ibu Zain 2025 bagi menerima pengiktirafan sebagai Wanita Inspirasi di atas pencapaiannya. Turut menerima pengiktirafan pada majlis tersebut ialah Datuk Nicol Ann David, Datuk Pandelela Rinong, Marsha Milan dan Cik B.
Terdahulu, hubungan Ameera dan Jefri menjadi bualan ramai bukan sahaja di Malaysia malah di Indonesia. Aksi Jefri mencium pipi Ameera sempena Hari Kekasih telah menerima kecaman ramai sehingga nama Neelofa turut terkena tempias. – KOSMO! ONLINE