WARSAW – Penduduk Poland digemparkan dengan kemunculan roket SpaceX yang menerangi langit, manakala beberapa serpihannya jatuh di negara berkenaan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Menurut pakar-pakar, roket Falcon 9 itu ‘menyalakan api’ semasa memasuki semula atmosfera Bumi.
Serpihan Falcon 9 kemudian jatuh di Poland dan juga berkemungkinan Ukraine.
“Terdapat laporan mengenai penampakan roket tersebut di Denmark, Sweden dan England,” kata mereka.
Seorang penduduk Poland, Adam Borucki terkejut apabila menemui sebuah tangki hangus di belakang gudangnya di bandar Komorniki.
“Saya segera menghubungi polis dan mereka mengesahkan serpihan itu adalah roket SpaceX Falcon 9 milik Elon Musk,” kata Borucki.
Polis Poland berkata, serpihan serupa turut ditemui di sebuah hutan berhampiran perkampungan Wiry.
“Kemasukan semula tanpa kawalan peringkat kedua roket Falcon 9 berlaku antara pukul 4.46 hingga 4.48 pagi (waktu tempatan) di ruang udara Poland semalam.
“Tiada kecederaan dilaporkan. Kami sedang menyiasat bagaimana objek itu berakhir di lokasi ini,” tambahnya. – AGENSI