EINDHOVEN – Ketua jurulatih PSV Eindhoven, Peter Bosz memuji semangat juang tinggi untuk bangkit menyingkirkan pasukan pilihan, Juventus 4-3 secara agregat dalam aksi playoff Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Philips awal pagi tadi.
Pada perlawanan yang diheret ke masa tambahan itu, PSV ketinggalan 1-2 hasil kekalahan aksi pertama di Turin minggu lalu tetapi mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk melakar kemenangan 3-1 hasil jaringan Ivan Perisic, Ismael Saibari dan Ryan Flamingo.
Menurut Bosz, kejayaan pasukan menamatkan penantian hampir 18 tahun untuk menang aksi kalah mati UCL adalah sesuatu yang luar biasa dan pujian wajar diberikan kepada semua pemain.
“Kami memulakan saingan dengan baik dan menguasai perlawanan menentang kelab yang sukar seperti Juventus. Kebiasaannya hanya ada seorang atau dua pemain yang menyerlah tetapi kali ini semua pemain memberi komitmen yang sama.
“Saya sangat berbangga apabila dapat lolos ke pusingan seterusnya. Bukan itu sahaja, ia menjadi musim yang istimewa buat bola sepak Belanda kerana Feyenoord juga berjaya mara,” katanya.
Pengendali Juventus, Thiago Motta tidak bersetuju dengan kritikan bahawa taktikal yang diterapkannya telah merosakkan misi pasukan untuk mara ke pusingan 16 terbaik musim ini.
“Kami tewas kepada pasukan yang lebih baik. Kami juga memiliki peluang untuk menang tetapi nasib tidak bersama pasukan selepas rembatan Dusan Vlahovic terkena palang dan kami perlu akur dengan kekalahan ini,” katanya.
Kekalahan Juventus menyaksikan Inter Milan menjadi satu-satunya wakil Serie A di pusingan seterusnya selepas dua lagi kelab Itali, AC Milan dan Atalanta ditunjukkan jalan keluar kelmarin. – AGENSI