TANAH MERAH – Cubaan seorang pemandu lori untuk menghantar sebanyak 20 ekor lembu seludup yang dianggarkan bernilai RM160,000 untuk dijual ke pasaran tempatan tidak berhasil apabila dia dicekup di Kampung Lalang Pepuyu di sini semalam.
Suspek yang berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.45 petang semasa anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan tugas menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, anggota PGA melihat sebuah lori jenis Hino dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa tiba di kawasan kampung tersebut.
Menurutnya, lori tersebut didapati membawa sebanyak 20 ekor lembu yang dianggarkan seberat lebih 10,000 kilogram.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua haiwan ternakan itu dipercayai diseludup dari Thailand berikutan ia tiada sebarang dokumen yang sah.
“Pemandu lori tersebut disyaki menjadi penghantar untuk menyeludup kesemua lembu yang dianggarkan bernilai RM160,000 itu ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, lembu yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. – KOSMO! ONLINE