fbpx

Pelancongan Berasaskan Komuniti semakin popular di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Meneroka Gua Pungiton bertingkat adalah salah satu tarikan menarik yang ditawarkan dalam pakej CBT di Sabah.

PETALING JAYA – Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) kini semakin popular di Sabah kerana ia menawarkan pelbagai pengalaman menarik dan peluang untuk merasai tradisi dan budaya tempatan di sesebuah kawasan tersebut.

Menurut kenyataan daripada Sabah Tourism, CBT telah menjadi satu bentuk pelancongan yang dapat menyokong usaha komuniti tempatan, meraikan tradisi budaya dan menghormati persekitaran semula jadi.

“Dengan memilih jenis pengembaraan ini, anda bukan sahaja mendekatkan diri dengan budaya asli tempatan di luar jangkauan pelancongan massa, tetapi juga menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan ekonomi masyarakat luar bandar,” jelas kenyataan tersebut.

Salah satu destinasi CBT yang terkenal di Sabah adalah Kiulu Farmstay yang terletak di Lembah Kiulu dan ia menawarkan penginapan ‘farmstay’ dan aktiviti luar seperti ‘quadbiking’ atau ATV, mendaki dan aktiviti berpasukan.

Ia adalah tempat yang menarik untuk merasai kehidupan luar bandar dan belajar tentang amalan pertanian mampan mengikut cara kaum Kadazan-Dusun.

Destinasi kedua adalah Bukit Sosodikon yang terletak di Kampung Kauluan, Kundasang yang mana projek ini telah diurus dan diselenggara oleh Koperasi Sosodikon Ranau Berhad (Kopsodik iaitu sebuah koperasi yang diuruskan sepenuhnya oleh penduduk Kampung Kauluan.

“Kopsodik juga menyediakan pakej homestay untuk pengunjung yang ingin merasai pengalaman budaya tempatan, sambil berpeluang untuk mempelajari cara menanam bunga dan menuai sayur-sayuran,” jelasnya.

Selain itu, terdapat juga pilihan untuk berkunjung ke Kampung Warisan Monsopiad yang telah dinamakan sempena pahlawan lagenda Kadazan-Dusun yang terkenal, Monsopiad.

Kampung ini menganjurkan lawatan di sekitar rumah tradisional Kadazan-Dusun, persembahan kebudayaan dan peluang untuk mempelajari adat dan tradisi tempatan.

“Walaupun kampung warisan ini tidak menawarkan pengalaman homestay seperti kebanyakan destinasi CBT di Sabah, ia menawarkan pelbagai aktiviti untuk pelawat, seperti kelas memasak makanan tradisional dan aktiviti pembinaan berpasukan serta menyediakan ruang acara yang boleh ditempah untuk acara persendirian, makan malam bertema atau korporat.

Lebih menarik pengunjung boleh meneroka Gua Pungiton bertingkat yang terletak di Orou Sapulot yang terletak berhampiran sempadan Kalimantan.

Orou Sapulot adalah sebuah projek CBT yang terletak jauh di tengah-tengah Borneo dan memandangkan ia terletak dalam perkampungan masyarakat Murut, ia bakal memberi peluang unik kepada pengunjung untuk merasai sendiri budaya Murut dan mengambil bahagian dalam aktiviti harian mereka.

“Antara aktiviti pengembaraan yang ditawarkan termasuklah rapid shooting meredah jeram, berakit, berenang di kawasan air terjun, menjelajah gua, memancing dan memanjat Batu Punggul iaitu puncak batu kapur setinggi 600 meter di tengah hutan,” jelasnya.

Dalam pada itu, CBT juga ditawarkan di Darau Wetland Eco-Tourism yang terletak di Kampung Darau Menggatal yang mana ia terletak di dalam kawasan paya bakau yang berfungsi sebagai tempat perlindungan pelbagai hidupan liar.

“Antara aktiviti yang boleh disertai pengunjung ialah merentas di denai alam semula jadi, memerhati burung, menyelami budaya bersama masyarakat setempat dan aktiviti pemuliharaan alam sekitar seperti pembersihan sungai dan penanaman pokok bakau,” terangnya.

Sabah Tourism juga mengesyorkan pengalaman CBT di Tagal Taman Tinopikon yang terletak di daerah Penampang.

Tagal Taman Tinopikon adalah destinasi unik dan menawan yang terletak di lembah Sungai Moyog yang indah yang mana taman ini terkenal dengan sistem ‘tagal’, iaitu satu amalan pemuliharaan tradisional di mana penangkapan ikan dihadkan di kawasan yang ditetapkan.

“Selain mempelajari sistem tagal, pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam aktiviti alam semula jadi seperti merentas hutan, mandi sungai dan memerhati burung, sambil mengenali dengan lebih dekat cara hidup masyarakat Kadazan dusun.

Kawasan eko-pelancongan kampung Kolosunan adalah projek CBT yang terletak di Kampung Kolosunan, Inanam, Sabah.

Ia terletak di dalam kawasan Rizab Biosfera Banjaran Crocker, sekali gus menawarkan peluang kepada pengunjung untuk merasai keindahan hutan hujan dan mempelajari cara hidup tradisional masyarakat Dusun.

Kampung Kolosunan mempunyai beberapa denai yang diselenggara dengan baik untuk aktiviti kembara mengikut pilihan tahap gred kesukaran dari mudah sehingga sederhana.

Laluan ini menawarkan peluang untuk memerhati kepelbagaian flora dan fauna, termasuk pelbagai spesies burung, serangga dan kehidupan tumbuhan yang unik.

Selain itu, pengunjung boleh menginap di Homestay Desa Cinta Kobuni yang terletak di Kota Kinabalu.

Projek CBT ini menawarkan gambaran tentang gaya hidup tradisional masyarakat Kadazan-Dusun.

Pengunjung boleh tinggal bersama keluarga tempatan dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kebudayaan, seperti persembahan tarian tradisional, demonstrasi anyaman dan bermain muzik bambu.

Selain itu, pengunjung juga berkesempatan mempelajari cara menyediakan makanan tempatan seperti Kuih Nurud dan Linopot.

Taman Rekreasi Kintup yang terletak di Kampung Tikolod, Tambunan pula adalah sebuah permata tersembunyi yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.

Dikelilingi oleh kehijauan alam dan bunga-bungaan indah yang ditanam oleh penduduk tempatan, pengunjung boleh menikmati aktiviti berkhemah atau berkelah di tepi Sungai Tikolod yang mengalir jernih. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI