PUTRAJAYA- Orang ramai terpaksa terbalikkan sebuah kereta bagi mengeluarkan seorang kanak-kanak yang terperangkap di bawah kenderaan itu dalam kejadian berhampiran sebuah sekolah di Presint 11, di sini petang tadi.
Dalam kejadian pukul 4.45 petang di hadapan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) itu, mangsa berusia lapan tahun mengalami cedera di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, insiden berlaku apabila mangsa mahu melintas jalan untuk ke sekolah sebelum dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu mangsa mengalami retak di bahagian belakang kepala selain luka di bahagian belakang badan, lutut kanan dan bengkak paha kiri.
“Mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.45 petang yang memaklumkan seorang kanak-kanak terperangkap di bawah kereta jenis Perodua Alza.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati orang awam yang berada di lokasi kejadian telah bertindak mengeluarkan mangsa dari bawah kenderaan dengan menterbalikkan kenderaan berkenaan.
“Sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan tiga buah motosikal unit RIM telah dikerah ke lokasi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE