BANGKOK – Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra menafikan spekulasi di internet bahawa sebuah bandar di utara Thailand merupakan ‘tanah yang dijanjikan’ (promised land) bagi menempatkan lebih 30,000 warga Israel, lapor laman berita Channel News Asia.
“Kami mengesahkan spekulasi ini tidak benar sama sekali,” kata Paetongtarn kelmarin ketika ditanya sama ada daerah Pai menjadi tanah yang dijanjikan tersebut.
“Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan ke Pai minggu depan untuk mendapatkan gambaran menyeluruh tentang apa yang berlaku di sana,”katanya.
Polis tempatan pula diberi masa tujuh hari untuk menyiasat warga asing yang tinggal di Pai berhubung dakwaan penglibatan dengan aktiviti haram dan mengganggu ketenteraman awam.
Jurucakap Polis Pelancong, Mae Hong Son menafikan dakwaan di media sosial bahawa warga Israel mewujudkan ‘tanah yang dijanjikan’ di daerah Pai dalam wilayah Mae Hong Soon.
Siaran yang tular di laman web juga mendakwa bahawa kira-kira 30,000 orang Yahudi menetap di Pai dan membina sebuah rumah ibadat.
Inspektor Polis Pelancongan Mae Hong Son, Suwit Boonyaphen berkata, angka 30,000 merujuk kepada jumlah pelancong Israel sepanjang tahun lalu.
“Ia bukan jumlah penempatan tetap,” tambahnya. – AGENSI