fbpx

Op Hazard: 22,900 tan e-waste bernilai RM2.68 billion dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar siaran langsung sidang akhbar Op Hazard di Bukit Aman hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) merampas 22,900 tan sisa elektronik (e-waste) bernilai RM2.68 bilion menerusi serbuan serentak Op Hazard di 47 premis seluruh negara, 15 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, seramai 246 individu ditahan yang terdiri daripada 70 warga tempatan dan 176 warga asing.

“Operasi membanteras kegiatan memproses e-waste oleh JKDNKA bersama JAS ini sudah bermula sejak 1 Januari tahun lepas (Fasa pertama) dan diteruskan sehingga 17 Februari lalu.

“Dianggarkan RM3.8 bilion e-waste dirampas dalam 90 serbuan manakala seramai 538 individu ditahan sepanjang tiga fasa serbuan ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Timbalan Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.

Azmi berkata, serbuan pada 15 Februari lalu (fasa kedua) membawa kepada dua lagi serbuan di Telok Panglima Garang, Selangor dan Sungai Siput, Perak.

“Di Teluk Panglima Garang, kita menemukan lebih 40 tan anak peluru serta 4,500 kilogram (kg) kelongsong peluru dalam serbuan sebuah kilang.

“Kes ini sedang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan kita berharap dalam masa terdekat ini kita akan dapat kenal pasti daripada mana asal anak peluru dan kelongsong peluru.

“Ada satu lagi kes menarik iaitu di Perak yang mana jumlah keseluruhan rampasan dalam serbuan itu lebih RM1.3 billion,” ujarnya.

Azmi berkata, proses membawa masuk (import) e-waste dipercayai melalui pelabuhan manakala pihaknya masih menyiasat negara asal barangan terbabit khususnya melibatkan kes di Telok Panglima Garang.

Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata, 30 daripada 47 premis yang diperiksa didapati beroperasi secara haram iaitu tujuh premis adalah premis barang lusuh; enam premis berlesen di bawah JAS (melanggar syarat lesen); tiga premis berlesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan satu gudang haram.

“Sebanyak 37 premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a), AKAS 1974 terhadap mesin-mesin pengeluaran yang digunakan di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.

“Selain itu, sebanyak 59 Notis Arahan dan 27 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan 52 kertas siasatan juga akan dibuka bagi tindakan mahkamah,” katanya.

Kesemua premis disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) (Akta 127); yang merangkumi pelbagai kesalahan termasuk mengikut Seksyen 34B.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI