PETALING JAYA – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, beliau berpeluang menerajui beberapa kajian utama ketika menjadi pengerusi baharu Social & Economic Research Initiative (SERI).
Jelasnya, antara kajian itu ‘Malaysia Women in Workforce: Charting a Path to Inclusive Employment serta kajian Perspektif Belia Malaysia Terhadap Kecerdasan Buatan (AI)
Menurut beliau, terinspirasi oleh pengalaman tersebut maka beliau kini meneruskan langkah bersama sebuah badan pemikir baharu dikenali sebagai Polity.
“Polity menjalankan penyelidikan berasaskan bukti, memberi saranan dasar yang inklusif serta melaksanakan program intervensi di lapangan khususnya bagi golongan wanita dan belia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Nurul Izzah berkata, dengan kewujudan badan-badan pemikir, lebih ramai pihak khususnya daripada penyelidik, masyarakat sivil hingga pembuat dasar dapat terlibat dalam penyelidikan sebenar.
Ujar beliau, ia bagi memastikan dasar dilaksanakan bukan sahaja berasaskan data dan kajian di lapangan, tetapi inklusif dan berpandangan jauh demi kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah, kini saya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada agenda bersama Polity. Semoga usaha setiap badan pemikir di Malaysia terus membawa manfaat buat masyarakat dan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE