fbpx

Man Tiger didakwa esok, 4 rakan suspek terlibat lepas tembakan direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis melakukan siasatan berhubung kejadian melepaskan tembakan di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, Kluang, 10 Februari lalu.

JOHOR BAHRU – Suspek yang dikenali sebagai Man Tiger yang melepaskan enam das tembakan ke arah pasangan suami isteri di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, 10 Februari lalu akan didakwa esok.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki berusia 32 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Kluang.

Katanya, suspek yang mempunyai 27 rekod jenayah lampau akan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana subahat cuba membunuh.

“Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Johor pada 20 Februari dan polis telah menerima arahan untuk pertuduhan.

“Suspek 32 tahun akan didakwa esok di Mahkamah Majistret Kluang mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata, dalam perkembangan sama, empat rakan suspek yang berusia 34 hingga 41 tahun disyaki dalam kejadian itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Isnin lalu di kawasan Kampung Melayu Majidee di sini.

Katanya, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Sigsauer berwarna hitam berserta kelopak dan sarung.

Selain itu, polis turut menemui sepucuk pistol disyaki tiruan, dua buah motosikal yang dilaporkan hilang, dua batang allenkey, beberapa peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah serta enam unit telefon bimbit.

“Hasil siasatan awal mendapati pistol yang dirampas dipercayai senjata yang digunakan untuk melepaskan tembakan di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, 10 Februari lalu.

“Bagaimanapun polis masih menunggu laporan analisa balistik dari Jabatan Kimia untuk pengesahan,”katanya.

Kumar menambah, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah selain tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamin.

Kesemua suspek direman sehingga Ahad depan bagi membantu lapan siasatan termasuk mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI