SEREMBAN – Polis berjaya membongkar kegiatan memproses dadah selepas menyerbu sebuah makmal haram di Nilai Isnin lepas membabitkan rampasan berjumlah RM3.2 juta.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai berjaya menahan dua lelaki tempatan dan tiga warga asing berusia 27 hingga 38 tahun.
Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas kokain seberat 2,145 gram bernilai RM429,000.
“Turut dirampas pelbagai jenis serbuk dan cecair bahan kimia bersama peralatan elektrik disyaki digunakan untuk memproses dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988. Polis menyita empat buah kenderaan, wang tunai RM66,830, mata wang asing RM 29,822.70, barang kemas dan jam tangan bernilai RM477,773.73. Nilai keseluruhan rampasan adalah RM2,777,426.43.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati seorang warga tempatan dan seorang rakyat asing positif methamphetamine dan benzo.
“Semakan mendapati dua suspek memiliki rekod jenayah dan dadah. Mereka direman selama tujuh hari bermula 18 Februari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39b dan Seksyen 15(1)(α) Akta Dadah Berbahaya 1952, ” katanya. – KOSMO! ONLINE