NEW DELHI – Seorang lelaki di India mengundang perhatian orang ramai selepas menggunakan kenderaan elektrik (EV) miliknya untuk menggoreng makanan, lapor portal berita Livemint semalam.
Kejadian berlaku di negeri Rajasthan pada 8 Januari lalu.
Rakaman yang dimuat naik di laman X oleh akaun @Captainknows2 memaparkan lelaki itu menggoreng doh dengan minyak di atas dapur elektrik.
Lebih menarik, dapur itu hidup selepas dicas dengan bateri keretanya.
“Kelebihan memiliki kenderaan EV,” demikian menurut keterangan video itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 734,000 tontonan bersama 6,900 tanda suka.
“Kenapa perlu membazir? Selamat datang ke India,” kata seorang netizen.