KANGAR – Seorang orang kena tuduh (OKT) kes khalwat berjaya diberkas semula selepas cuba meloloskan diri melalui tingkap tandas Mahkamah Syariah di sini hari ini.
Menurut sumber, kejadian pada pukul 2.30 petang itu berlaku ketika lelaki berusia 43 tahun tersebut sepatutnya menjalani prosiding kes khalwat yang dijadualkan bermula pukul 3 petang.
“OKT pada mulanya memohon untuk ke tandas di aras bawah kompleks mahkamah sebelum prosiding bermula dan dibenarkan oleh anggota pengiring.
“Bagaimanapun, anggota polis mahkamah mula curiga selepas OKT mengambil masa terlalu lama sebelum memeriksa dan mendapati lelaki itu telah melarikan diri menerusi tingkap kecil di dalam tandas,” katanya hari ini.
OKT tersebut kemudian dikesan berada di pintu masuk utama mahkamah sebelum diberkas semula oleh polis dan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis.
Difahamkan, lelaki itu kemudian dibawa ke kamar perbicaraan sebelum dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan khalwat.
OKT yang berasal dari Kuala Perlis juga sedang dalam proses perbicaraan kes narkotik di Pulau Pinang. Dia dihantar ke Pusat Koreksional Perlis untuk menjalani hukuman kes khalwat. – KOSMO! ONLINE