fbpx

LBS rekod PATMI RM240 juta, tertinggi dalam 11 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr. Lim Hock San

PETALING JAYA – Pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS) mengumumkan keputusan kewangan tidak diaudit bagi tahun penuh berakhir pada 31 Disember 2024, yang mana dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) daripada operasi berterusannya merekodkan RM240.2 juta, iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh 11 tahun.

Nilai berkenaan adalah 63.5 peratus lebih tinggi berbanding RM146.9 juta yang dicapai pada tahun sebelumnya, dipacu oleh penyusunan strategik dan penambahbaikan portfolio, termasuk pelupusan pelaburan dalam Zhuhai International Circuit Limited (ZIC).

Pelupusan berkenaan, bertujuan untuk membuka nilai terpendam menghasilkan keuntungan selepas cukai sekitar RM156 juta, mengukuhkan prestasi kewangan LBS dengan ketara.

Selain itu, kecekapan operasi yang dipertingkatkan turut menyumbang kepada prestasi keseluruhan Kumpulan, disokong oleh fokus berterusan terhadap langkah-langkah pengurusan kos bagi memastikan pertumbuhan dan kestabilan kewangan.

Ia menghasilkan peningkatan 14.3 peratus dalam keuntungan selepas cukai bagi segmen pembangunan hartanah LBS kepada RM171.6 juta, berbanding RM150.2 juta pada tahun 2023.

Pendapatan pula berjumlah RM1.43 bilion, sebahagian besarnya diperoleh daripada segmen pembangunan hartanah yang menyumbang RM1.37 bilion, atau 95.6 peratus daripada jumlah pendapatan tahun kewangan 2024.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr. Lim Hock San berkata, prestasi kukuh itu disokong oleh jumlah jualan hartanah sebanyak RM1.3 bilion sepanjang tahun lalu, yang didorong oleh kejayaan projek di Lembah Klang, khususnya KITA @ Cybersouth, Alam Perdana Central Hub dan Idaman Melur.

“Melangkah ke hadapan, kami mengekalkan prospek yang optimis namun berwaspada.

“Strategi penyusunan semula melalui pelupusan ZIC telah membolehkan kami menumpukan perhatian kepada keupayaan teras, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan Kumpulan secara signifikan.

“Langkah ini telah menjana rizab modal kukuh dan memberikan fleksibiliti kepada Kumpulan untuk meneroka pelaburan atau pemerolehan baharu bernilai tinggi serta memberi ganjaran kepada pemegang saham.

“Dengan jualan yang belum dibil sebanyak RM1.68 bilion serta peningkatan jualan projek baharu Centrum Iris, Kumpulan yakin projek-projek ini akan terus mengukuhkan kedudukan LBS sebagai pemaju hartanah terkemuka serta menyumbang kepada kejayaan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lakaran artis bagi projek Centrum Iris, iaitu pembangunan komersial bercampur terbesar di Cameron Highlands.

LBS baru-baru ini memperkenalkan Strategi 8 x 8, sebuah pelan hala tuju korporat tiga tahun dari 2025 hingga 2027.

Ia menegaskan komitmen Kumpulan untuk melaksanakan rangkaian projek pembangunan dengan nilai berjumlah RM8 bilion, sekali gus memanfaatkan bank tanah seluas 3,745 ekar.

Sebagai sebahagian daripada pelan tersebut, Centrum Iris, presint kedua Cameron Centrum dan pembangunan komersial bercampur terbesar di Cameron Highlands telah dilancarkan pada Januari lepas dengan Pensijilan ‘GreenRE Silver’, mencerminkan komitmen LBS terhadap kelestarian hijau.

Dengan unjuran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM472 juta, Centrum Iris dijangka mentransformasikan landskap komersial kawasan tersebut serta mengukuhkan kedudukan LBS dalam pasaran hartanah.

Selain itu, LBS baru-baru ini turut berjaya menerbitkan tranche kedua ASEAN Social SRI Sukuk Wakalah, mengumpul RM400 juta bagi membiayai projek pembangunan akan datang.

Dana berkenaan akan memberi tumpuan kepada inisiatif perumahan mampu milik, program pembangunan komuniti serta projek yang memperkukuh kelestarian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI