KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN KL) merampas 5,500 unit barangan tiruan bernilai RM360,000 ketika serbuan di Jalan Petaling, di sini.
Timbalan Pengarah KPDN KL, Nurul Syarina Md. Anuar berkata, pihaknya memeriksa 20 premis termasuk lima stor menerusi Op Putra 5.0 yang dilaksanakan sejak 3.30 petang tadi.
Katanya, serbuan dijalankan hasil risikan lebih dua minggu yang menyasarkan penjualan barangan tiruan susulan Jalan Petaling ini disenaraikan semula dalam ‘United States Trade Representative Report’ semenjak 2023.
“Antara barangan tiruan yang kita temui adalah jam tangan, beg, kasut, selipar, dompet, topi dan tali pinggang.
“Lebih kurang 5,500 unit barangan yang disyaki barang tiruan dirampas daripada 20 premis dipercayai kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya ketika sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, semua barangan dipercayai dijual dengan harga serendah RM50 hingga RM450 bergantung kepada jenis dan kualiti produk yang dijual.
“Memandangkan penjualan isu ini merupakan lokasi yang kerap kali kita adakan operasi melibatkan barang tiruan, kita akan juga menyemak rekod lampau dan juga menyiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Daripada statistik hari ini, sebanyak 107 kes telah direkodkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019; Akta Perihal Dagangan dan Akta Cipta yang menjadikan nilai sitaan RM1.8 juta sepanjang Op Putra sejak 2023,” jelasnya.
Ujarnya, berdasarkan rekod, premis-premis yang diserbu disyaki beroperasi dalam rangkaian yang sama dan dikendalikan oleh warga asing manakala pemilik bangunan pula adalah rakyat tempatan.
“Kita (KPDN) juga mendapati barangan ini dipercayai dibawa masuk dari luar negara sebelum disimpan di stor tertentu dan diedarkan kepada peniaga kecil di kawasan sekitar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan penjualan barangan tiruan secara berterusan. -KOSMO! ONLINE.